Kawal pemakanan pada musim perayaan

SELEPAS sebulan umat Islam berpuasa di bulan Ramadan, sambutan Aidilfitri sudah pasti akan diraikan dengan kemenangan dan antara cara meraikannya adalah dengan menyediakan pelbagai hidangan istimewa.
Malah di setiap rumah, sudah pasti akan menghidangkan makanan tradisional kegemaran ramai seperti rendang, lemang, kuah kacang dan kuih raya akan dinikmati selama beberapa hari berturut-turut.
Bagaimanapun, pengambilan hidangan berat yang berulang dalam tempoh singkat boleh memberi tekanan pada sistem penghadaman bahagian atas perut yang dikenali sebagai dispepsia.
Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Deborah Chew Chia Hsin, berkata dispepsia biasanya dikenali sebagai ketidakhadaman.
Menurut beliau, dispepsia menjejaskan kira-kira 15 hingga 25 peratus rakyat Malaysia, sekali gus menjadikannya antara aduan gastrousus paling kerap dialami dalam kalangan masyarakat.
"Dispepsia merujuk kepada sekumpulan gejala yang berkaitan dengan sistem penghadaman bahagian atas, yang berpunca dari perut atau bahagian awal usus kecil.
"Ia boleh berlaku tanpa keabnormalan struktur yang jelas, yang dikenali sebagai dispepsia berfungsi, atau berkaitan dengan penyakit lain seperti gastritis, penyakit ulser peptik dan penyakit refluks gastroesofagus.
"Pesakit biasanya mengalami kembung di bahagian atas perut, rasa kenyang awal, rasa pedih atau ketidakselesaan di bahagian atas perut akibat asid, loya serta sendawa berlebihan," katanya.
Dr Deborah berkata, simptom sedemikian berpunca akibat perubahan cara perut berfungsi dan bukannya disebabkan kerosakan fizikal yang boleh dilihat.
"Perut akan menghasilkan asid yang berterusan untuk mencerna makanan. Apabila pengosongan gastrik menjadi perlahan, atau apabila perut menjadi terlalu sensitif terhadap regangan normal selepas makan, pesakit mungkin mengalami ketidakselesaan walaupun ujian imbasan atau endoskopi tidak menunjukkan sebarang keabnormalan yang jelas," katanya.
Beliau menjelaskan, terdapat beberapa kumpulan individu yang lebih terdedah kepada masalah dispepsia, terutamanya ketika musim perayaan yang menyaksikan perubahan mendadak dalam corak pemakanan.
Antaranya ialah mereka yang sudah mempunyai masalah dispepsia berfungsi, gastrik atau penyakit refluks. Pesakit diabetes juga berisiko lebih tinggi kerana penyakit itu boleh menyebabkan pengosongan gastrik menjadi lebih perlahan.
Selain itu, individu yang mempunyai masalah kegelisahan atau tekanan emosi sedia ada juga mungkin mengalami persepsi ketidakselesaan gastrik yang lebih ketara.
"Apabila sensitiviti sedia ada sudah wujud, pengambilan makanan berat secara berulang boleh memburukkan lagi simptom secara signifikan," katanya.
Dr Deborah berkata, pengambilan hidangan berat secara berulang dalam tempoh yang singkat memberikan tekanan terkumpul kepada perut, terutamanya apabila hidangan tersebut tinggi dengan kandungan lemak.
Ini kerana lemak adalah salah satu perencat fisiologi yang paling kuat untuk pengosongan gastrik. Oleh itu, hidangan berasaskan santan seperti rendang akan memanjangkan masa makanan berada di dalam perut dan boleh membawa kepada rasa kembung serta kenyang yang melampau.
"Jumlah hidangan yang besar turut meningkatkan lagi tekanan intragastrik kerana perut perlu mengembang untuk menampung makanan.
"Apabila pengosongan perut menjadi perlahan, rasa kenyang akan bertahan lebih lama daripada biasa lalu mengakibatkan rasa kembung yang berlarutan dan ketidakselesaan perut.
"Gabungan pengambilan lemak tinggi dan jumlah makanan yang banyak serta berulang menyukarkan perut untuk pulih sepenuhnya di antara waktu makan," katanya.
Selain hidangan utama, pencuci mulut manis dan minuman bergula juga boleh menambah beban kepada sistem penghadaman.
Menurutnya, minuman berkarbonat pula boleh menghasilkan gas berlebihan dalam perut yang akhirnya menyebabkan kembung dan rasa tidak selesa.
"Makanan pedas juga boleh meningkatkan ketidakselesaan bagi sesetengah individu kerana ia mengandungi sebatian seperti capsaicin yang mengaktifkan reseptor yang mengesan rasa panas dan sakit.
"Bagi individu yang sihat, makanan pedas biasanya tidak menimbulkan masalah besar. Namun, bagi mereka yang mempunyai masalah seperti dispepsia berfungsi, gastrik atau refluks asid, reseptor ini menjadi lebih sensitif," katanya.
Beliau menjelaskan, sensitiviti yang meningkat menyebabkan jumlah asid atau regangan perut yang normal turut boleh dirasai sebagai sakit atau pedih.
Bagaimanapun, Dr Deborah menegaskan makanan pedas secara umumnya tidak merosakkan lapisan perut, tetapi ia boleh mencetuskan atau memburukkan simptom bagi individu yang mempunyai sensitiviti gastrik.
Selain faktor makanan, gaya hidup ketika musim perayaan juga memainkan peranan penting dalam mencetuskan ketidakhadaman.
Katanya, amalan kurang bergerak atau berbaring sejurus selepas makan sering menjadi punca masalah penghadaman bertambah teruk.
"Berbaring selepas makan hidangan perayaan yang besar boleh melambatkan penghadaman dan meningkatkan refluks kandungan perut ke dalam esofagus lalu membuatkan rasa pedih, kembung dan ketidakselesaan.
"Orang ramai disarankan menunggu sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam selepas makan sebelum berbaring atau tidur bagi membolehkan perut dikosongkan dengan secukupnya," katanya.

Walaupun masalah ketidakhadaman ketika musim perayaan lazimnya bersifat sementara, Dr Deborah berkata orang ramai perlu peka terhadap simptom tertentu yang mungkin memerlukan perhatian perubatan.
Menurutnya, ketidakhadaman biasanya akan reda dalam masa beberapa jam selepas makan atau selepas perubahan dalam pemakanan.
Namun, jika simptom berlarutan lebih daripada dua hingga tiga minggu, semakin teruk atau disertai tanda amaran lain seperti penurunan berat badan tanpa sebab, anemia, najis berwarna hitam, muntah berterusan atau kesukaran menelan yang semakin teruk, pesakit disarankan mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.
Beliau berkata, penilaian biasanya bermula dengan pemeriksaan klinikal serta beberapa ujian seperti ujian darah, ujian jangkitan Helicobacter pylori dan endoskopi bahagian atas jika diperlukan.
Dalam kes tertentu, doktor juga mungkin mengesyorkan pesakit menjalani ujian ultrabunyi endoskopik atau EUS bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai struktur di dalam atau sekitar perut.
Katanya, rawatan bagi ketidakhadaman biasanya bertujuan melegakan simptom serta memperbaiki fungsi gastrik melalui penggunaan ubat yang sesuai atau rawatan khusus jika jangkitan dikenal pasti.
Namun, beliau menegaskan langkah pencegahan kekal sebagai pendekatan paling berkesan, terutama ketika musim perayaan.
"Orang ramai disarankan mengawal saiz hidangan, makan secara sederhana dan menjarakkan masa antara hidangan berat.
"Walaupun menikmati juadah istimewa adalah sebahagian daripada kemeriahan Aidilfitri, kesedaran serta kesederhanaan adalah kunci untuk mengekalkan keselesaan dan kesihatan sistem penghadaman dalam jangka panjang," katanya.
Was this article helpful?
1 out of 1 found this helpful
Suggest to Read









